Top posts

Featured Posts

Pembangkang tidak bersatu dalam isu TPPA?

Oleh S. Arulchelvan, PSM
Pada 26hb. Januari 2016, Parlimen Malaysia akan mengundi samada menyokong atau membantah  perjanjian TPPA. Sudah pasti bahawa BN akan menggunakan kuasa whip untuk mengarahkan ahli-ahlinya mengundi menyokong TPPA.  Parlimen seolah-olah suatu chop getah ‘rubber stamp’ dimana MP tidak akan mengundi mengikut isu tetapi hanyalah mengikut arahan parti masing-masing. 


Keputusan menyokong TPPA oleh parti pemerintah nampaknya sudahpun diputuskan  dan apa yang mungin berlaku di Parlimen pada 26 Januari hanyalah satu formaliti sahaja. Lagi pun, sebelum ini sudahpun dimaklumkan bahawa undang-undang, Negara tidak memerlukan Parlimen meluluskan TPPA namun disebabkan desakan dan bangkangan terhadap TPPA, maka isu ini dibawa ke Parlimen. 

Juga akan menjadi menarik melihat apakah pendirian beberapa ahli parlimen umpamanya  seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tengku Razaleigh. Adakah mereka akan mengundi menentang? Kemungkinan besar mereka tidak akan hadir sesi dari mengundi demi untuk  “bermain selamat” yang sememangnya  telah menjadi ragam mereka sejak dulu.

Maka tarikh 23 Januari iaitu hari himpunan menentang TPPA mungkin akan menjadi perhimpunan besar terakhir yang penting untuk rakyat mengutarakan bangkangan mereka kepada TPPA.  

Bagi Parti PAS mereka ada mengeluarkan kenyataan menentang TPPA. PAS ada memaklumkan bahawa mereka akan mengerahkan ahlinya bersama dengan organisasi fron mereka iaitu Kongres Rakyat untuk turun demonstrasi pada 23hb.Januari, 2016 nanti. 

Tetapi bagaimana pula dengan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR,DAP dan Amanah? Sehingga kini jika dilihat sejauh mana mereka mengerakkan atau memobilisasi ahli-ahli mereka menentang TPPA, cukup menyedihkan. 

Masih nampak tidak ada keazaman bersungguh-sungguh menentang TPPA, samalah seperti tidak ada keazaman bersungguh-sungguh semasa menentang GST dulu dimana pada awalnya mereka mengatakan akan berperang jika GST diluluskan. 

Namun GST terus diluluskan pada April,2015. Tiada perang berlaku dan hanya rungutan sahaja yang kedengaran. 

Setiap parti pembangkang  pula nampaknya ada seorang dua sahaja yang prihatin  lantang menentang TPPA umpamanya Wong Chen dari PKR dan Charles Santiago dari DAP.   

Yang lebih merungsingkan adalah mobilisasi anti TPPA yang dianjurkan oleh kumpulan Bantah TPPA nampaknya tidak mendapat sokongan sepenuhnya oleh parti-parti Pakatan Harapan. Nampaknya masih belum membuat satu ketetapan. Juga tidak ada apa-apa arahan kepada ahli parti  untuk turun  memobilisasi rakyat. Mungkin kerana pengerak utama aksi Bantah TPPA digerakkan oleh PAS dan PERKASA . Ini mungkin menyebabkan parti-parti Pakatan Harapan ini serba salah. 

PSM walaupun mungkin mempunyai ketidaksefahaman ideologi dengan para organisasi lain dalam aksi Bantah TPPA tetapi dalam perhimpunan menentang TPPA,PSM berpendiran adalah wajib untuk kami bersatu kerana TPPA adalah satu perjanjian koperat untuk memiskinkan lagi rakyat Malaysia. Hanya satu perhimpunan besar, pelbagai kumpulan dan parti yang dapat memberikan mesej utama kepada UMNO-BN bahawa ia tidak popular sama sekali. 

PSM mengalu-alukan tindakan pihak BERSIH dan NGO’s sekutunya mendeklarasikan bantahan mereka kepada TPPA dan sokongannya kepada aksi ini pada 23hb.Januari,2016. 

Adalah masa untuk baju merah dan kuning bersatu kerana yang kita pertikaikan adalah TPPA sebagai suatu penjajahan zaman baru. PSM berpendirian bahawa sudah tiba masanya parti-parti pembangkang mengenepikan pertelingkahan politik dan mendahulukan agenda kedaulatan negara dan rakyat . Kerana setelah dilaksanakan, TPPA tidak kenal agama  kaum atau ideologi parti politik mereka.

Jadikan 23hb. Januari satu referendum rakyat menentang TPPA. Ianya hanya akan tercapai jika semua parti politik  PAS, DAP, PKR atau AMANAH, turun bersama-sama memobilisasi rakyat menentang TPPA.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog