Top posts

Featured Posts

Sabah Bukan Milik Malaysia


Kota Kinabalu: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Sabah milik Malaysia merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan jauh daripada kebenaran. Malah ia boleh disifatkan sebagai berbaur penjajahan. Sejarah membuktikan bahawa Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 oleh empat wilayah bekas jajahan British iaitu Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura (menarik diri dari gabungan pada tahun 1965). 

Ini bermakna bahawa Malaysia itu milik bersama Malaya, Sabah dan Sarawak. Tanpa tandatangan Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan wujud di peta dunia.

Akhir-akhir ini, heboh dikatakan tentang Sabah dan Sarawak keluar Malaysia oleh kelompok tertentu. Istilah keluar ini juga salah. Seperti yang pernah dijelaskan oleh Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak bahawa tiada Malaysia untuk dimasuk tetapi Persekutuan Malaysia dibentuk bersama.

Pengarah Arkib Sabah dalam satu kenyataan akhbar juga pernah menjelaskan bahawa tiada Malaysia sebelum 1963. Semua ini jelas membuktikan bahawa Malaysia itu belum wujud sehinggalah ia dibentuk bersama oleh gabungan bekas jajahan British di Borneo. 

Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung secara sukarela seperti yang termaktub dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold. Maka dengan prinsip yang sama, adalah tidak aneh atau pelik untuk berpisah pula secara sukarela dan bukannya keluar Malaysia.

Isu sebenar yang menyebabkan isu pemisahan ini timbul ialah kerana rasa tidak puas hati rakyat Borneo berkaitan layanan yang tidak adil sebagai salah satu rakan kongsi pembentukan Malaysia. 

Antaranya ialah jurang perbezaan taraf pembangunan yang jauh berbeza antara Semenanjung Malaysia dan dua wilayah Malaysia di Borneo.  Ada pihak yang mengatakan bahawa bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan terdapat juga negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang mundur. 

Tetapi hakikat sebenarnya ialah, semua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah satu entiti di mata Sabah dan Sarawak mengikut perspektif pembentukan Malaysia. 

Di Semenanjung Malaysia bermegah dengan lebuhraya yang luas dan cantik. Bahkan katanya Malaysia berbangga dengan kemajuan Negara dengan mengambilkira kewujudan mercu tanda Negara seperti Menara Kembar Petronas, jaringan keretapi canggih, dua KLIA, Litar FI Sepang dan pelbagai kehebatan lagi. 

Namun kita lupa semua kebanggaan Negara itu semua terpacak di bumi Semenanjung Malaysia. Berapa peratuskah rakyat Sabah dan Sarawak yang merasai kehebatan itu?

Jika dikatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga bersama, tetapi itu hanyalah satu teori yang menipu diri sendiri.   Antara impian Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia ialah pembangunan yang seimbang dan dikecapi bersama. 

Sayang sekali, Sabah pada tahun 2010 diiktiraf sebagai negeri termiskin/termundur di Malaysia. Bolehkah keadaan ini kita terima dengan penjelasan bahawa perkara ini terjadi akibat terlepas pandang?

Sementara itu, jika kita lihat sumbangan Sabah kepada Malaysia juga bukan sedikit. Hasil Petroleum yang dikaut dari perut bumi Sabah bernilai puluhan billion ringgit setiap tahun dengan Sabah memberikan 95% kepada Persekutuan atas nama Petronas. Sedangkan Bajet Negara kepada Sabah tidak sampai 10% daripada keseluruhan jumlah bajet yang dibentangkan. Belum lagi mengambilkira hasil cukai dan kastam yang dikutip oleh Persekutuan tanpa memberikan sedikit pun kepada Sabah. Bahkan rakyat Sabah diperbodohkan pula dengan mengatakan bahawa kos yang ditanggung oleh Petronas sangat tinggi sehingga tidak mampu memberikan pulangan lebih besar kepada Sabah. 

Sedangkan kita tahu setiap tahun Petronas mencatatkan keuntungan yang tinggi.   Jika Petronas tidak efisien sehingga menanggung kos yang tinggi, bukankah Sabah mempunyai pilihan untuk memberikan peluang kepada syarikat lain yang lebih efisien untuk menguruskan hasil minyak Sabah? 
  
Ini bukan soal patriotisma tetapi ini soal hak. Sabah sudah merdeka tetapi tidak mampu mengurus hasil sendiri yang bernilai puluhan billion sehingga terpaksa menjadi negeri termiskin.

Begitu juga dari segi politik dan pentadbiran, Sabah sebagai sebuah wilayah yang merdeka harus ada autonomi untuk memerintah. Malang sekali pemimpin Sabah terpaksa mengikut telunjuk Putrajaya kerana sistem politik kita rosak dengan kehadiran parti-parti dari Malaya menguasai kerajaan Sabah sehingga wujud apa yang kita namakan sebagai konflik kepentingan antara kedudukan peribadi pemimpin dan mempertahankan hak Sabah. 

Bukan itu sahaja, bahkan banyak agensi persekutuan diwujudkan di Sabah sehingga melapis fungsi agensi Sabah sedia ada seperti LIGS berdepan dominasi RISDA.  Agensi agama Islam Sabah seperti Jheins dan Muis seoalah-olah hilang fungsi dengan dominasi JAKIM.  Bahkan skrip khutbah pun tidak mampu dibuat oleh Jheins dan Muis. 

Sarawak bersyukur kerana konflik kepentingan ini tidak wujud kerana Sarawak masih diperintah oleh parti tempatan yang membela agensi Sarawak agar terus berupaya dan efisien. Tanah-tanah Sabah juga semakin besar diambil oleh kerajaan persekutuan atas nama Felda, Felcra dan pelbagai lagi yayasan negeri-negeri dari Semenanjung Malaysia.

Hal inilah yang menyebabkan wilayah Malaysia di Borneo khususnya Sabah berasakan bahawa pembentukan Malaysia sekadar menjustifikasikan pengambilan hasil bumi Sabah, menggugat sistem pentadbiran, bahkan dengan mengubah demografi kaum menerusi Projek IC yang sehingga sekarang tidak diumumkan hasilnya oleh RCI yang telah ditubuhkan, agar Sabah terus digenggam tanpa mampu menyuarakan hak dengan lantang dan berani. 

Ditambah pula dengan ketegangan yang dicetuskan oleh pelampau-pelampau Melayu seperti Perkasa dan Isma yang cenderung membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan dan sensitiviti masyarakat Sabah yang biasa hidup harmoni dalam satu keluarga yang berbilang agama. Ia sudah satu kebiasaan, tetapi dengan kenyataan-kenyataan pelampau-pelampau ini, boleh mengakibatkan wujud ketegangan hubungan kekeluargaan. 

Bukan itu sahaja, malah pendirian kerajaan persekutuan terhadap isu Palestin-Israel yang dengan jelas mengutuk Kristian dan Yahudi sedikit sebanyak melukai hati masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak.    Sedangkan isu Palestin-Israel wajar diangkat sebagai isu kemanusiaan dan bukan isu agama.   Ini terbukti dengan himpunan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia termasuk kumpulan pemimpin agama Yahudi mengutuk serangan ke atas Palestin.   Sayang sekali media Malaysia yang didominasi pemerintah membuat gambaran sebaliknya demi kepentingan politik ketuanan Melayu agar kelihatan lebih Islamik daripada parti lain.

Apabila kita membuat perbandingan seperti ini, kita dapati penggabungan Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia bukan satu keputusan yang bijak. Ada juga jawapan sesetengah pihak yang mengatakan jika Sabah dan Sarawak tidak bersama-sama membentuk Malaysia, Sabah dan Sarawak akan hancur oleh dominasi Filipina dan Indonesia. Ini merupakan jawapan kurang cerdik dan tidak berasas. 

Belum ada mana-mana bekas jajahan British ditinggalkan dalam keadaan rosak begitu sahaja oleh British.   Bahkan British menubuhkan Komanwel untuk menjaga kebajikan Negara-negara bekas jajahan sekalipun tidaklah begitu adil, namun mekanisma bantuan tetap wujud.   Apa yang mungkin berlaku ialah Sabah akan lewat mendapatkan kemerdekaan tetapi jika mengambil contoh Brunei yang baru dimerdekakan pada awal tahun 80-an, mampu pula menjadi antara 5 negara terkaya dunia, saya fikir berbaloi untuk merdeka lewat daripada merdeka awal sekadar untuk jadi negeri termiskin.

Keinginan untuk berpisah dari Persekutuan Malaysia oleh kelompok-kelompok tertentu khususnya di Sabah tidak harus ditangani dengan tindakan yang boleh menjadikan keadaan bertambah buruk apatah lagi menggunakan Akta Hasutan 1948 yang suatu ketika pernah dijanjikan oleh Perdana Menteri untuk dihapuskan. 

Kebanyakan rakyat hari ini sudah bijak dan celik fakta. Bahkan segala maklumat diperolehi di hujung jari.   Satu perkara menarik yang kita harus tahu ialah banyak kontradiksi Perlembagaan Malaysia yang sebenarnya mencacatkan ‘rancangan pengambilalihan Sabah dan Sarawak' secara total sebagai negeri biasa setaraf dengan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu tanpa mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia. 

Merujuk Perkara 160, tafsiran “PERSEKUTUAN” jelas ditakrifkan sebagai Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.   Ini secara langsung mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada kawalan persekutuan kerana dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripadanya. Sabah dan Sarawak hanya membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 bersama-sama Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Oleh itu kerajaan persekutuan harus mencari jalan yang terbaik dan bijaksana jika ingin melihat Persekutuan Malaysia terus kukuh.   Langkah paling sesuai ialah kembali ke meja rundingan. Seperti kata Datuk Zaid Ibrahim, seorang peguam terkenal Malaysia dan bekas Menteri dalam kerajaan BN, kerajaan harus mengadakan Dialog Kebangsaan untuk mendengar suara ini. 

Penjara bakal tidak cukup untuk memuatkan semua pejuang-pejuang hak yang terdiri daripada anak-anak muda. Rundingan meja bulat bukan sesuatu yang janggal dan tidak boleh dilaksanakan.

Kita boleh merujuk kembali Hansard DUN Sabah yang pernah pada 29hb. Disember 1975 dimaklumkan proses  penyemakan semula Perjanjian Malaysia 1963, bahkan telah pun ditubuhkan jawatankuasa kebangsaan mengenainya. 

Sayangnya perubahan kerajaan Sabah menyebabkan semakan ini tidak berlaku sehingga hari ini. Natijahnya, ketidakpuashatian akhirnya diterjemah melalui tindakan pemisahan. Saya yakin, jika ketidakpuashatian ini dapat ditangani dengan baik, kita pasti dapat selamatkan Persekutuan Malaysia yang sama-sama kita bentuk 51 tahun yang lalu.

1 comment:

  1. menjijikkan betullah stetmen muyidin ni adakah dia cakap sabah ini milik malaysia seolah2 sabah ni harta malaysia bole buat sesuka hati dia. hantu betul.

    ReplyDelete

Search This Blog