Top posts

Featured Posts

Pemimpin PAS, Hindraf dan Malaysia Timur Masing-masing Memberi Pandangan dalam Forum Krisis Perkataan “Allah”

Forum “Krisis Perkataan Allah • Hak Berperlembagaan • Kebebasan Beragama” yang dianjurkan bersama oleh kami dan Lajnah Perpaduan Nasional PAS Johor sebelum ini dijadualkan pada 13hb April (Ahad), terpaksa ditunda ke 4hb Mei (Ahad), jam 2 petang, di Auditorium, Tingkat lima Bangunan JOTIC (Bersebelahan Mahkamah Tinggi JB) kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada mereka yang berminat untuk hadir ke forum ini dan masyarakat umum yang prihatin terhadap "krisis perkataan Allah" kerana tidak dapat menjemput wakil pertubuhan yang bekait langsung dengan isu ini dan wakil pertubuhan yang berkewibawaan dalambidang berkenaan untuk hadir bersama dalam forum ini. Krisis tersebut dan peristiwa susulannya telah menarik banyak perhatian dari masyarakat bukan Islam yang merupakan hampir separuh dari jumlah populasi negara ini. Isu ini paling membimbangkan semua penganut Kristian di negara kita. Walau bagaimanapun, kami tetap berharap berpeluang untuk menjalin hubungan dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan agama dan para pemimpin mereka pada masa depan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan besar hati setuju menghantar seorang wakil untuk menjadi ahli panel dalam forum ini. (sila rujuk rencana berkaitan yang dipaparkan pada 10hb April di blog Sahabat Rakyat). Setelah perbincangan terperinci, jawatankuasa kerja forum memutuskan untuk menjemput tiga ahli panel seperti berikut. Kami berharap mereka dapat berkongsi pandangan masing-masing daripada perspektif yang lebih luas. Pertimbangan utama kami mengundang ahli panel di bawah adalah seperti berikut:

1. Dr. Shad Saleem Faruqi – Beliau merupakan profesor undang-undang dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor. Beliau juga pernah berkhidmat di fakulti undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkhidmat separuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia dan sebagai profesor jemputan di Universiti Sains Malaysia. Dalam satu forum yang diadakan pada bulan lepas, beliau mengemukakan pandangan bahawa larangan ke atas penganut bukan Islam daripada mengguna perkataan Allah adalah tindakan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

2. P. Waytha Moorthy – Beliau merupakan pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia. Sebelum PRU ke-13, beliau selaku pengerusi Persatuan Hindraf telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Najib Razak yang mewakili klik hegemoni UMNO dan menyeru pengundi berbangsa India memberi sokong kepada Barisan Nasional (BN). Selepas PRU ke-13, beliau dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Namun, beliau meletak jawatan selepas 9 bulan kerana berasa ditipu dan diperdaya oleh Najib dan klik pemerintah BN.

3. Dr. Jeffrey Kitingan – Beliau merupakan pengerusi Parti STAR di Sabah. Beliau juga merupakan penganut Kristian dan seorang pemimpin kaum Kadazan-Dusun. Ekoran daripada keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan dan mengumumkan larangan penggunaan perkataan “Allah” oleh penganut bukan Islam, beliau pernah berkata bahawa: “Ini bukan keputusan Mahkamah Rayuan, tetapi polisi UMNO-BN. Malaysia akan dimusnahkan dan berpecah-belah melainkan Perdana Menteri dan BN menjalankan transformasi menyeluruh dan bersikap inklusif dan inginkan pendamaian” dan “Sekiranya kerajaan persekutuan mengizinkan extremis di Semenanjung mengapi-apikan perpecahan, maka tiada alasan untuk terus mengekalkan Sabah dan Sarawak.

Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi semasa menerima undangan kami menyatakan bahawa beliau tidak dapat hadir untuk berucap, tetapi beliau akan mengemukakan satu makalah untuk berkongsi pendapat dengan pertubuhan, parti politik dan individu demokratik. Pengerusi Persatuan Hindraf Waytha Moorthy pula akan hadir dan menyampaikan ucapannya dalam forum ini.

Seperti biasa, kami akan meminta ahli panel menghantar artikel (tiada had perkataan) sebelum forum diadakan, supaya kami boleh menyediakan booklet untuk diedarkan kepada para hadirin forum. Selain itu, kami juga akan menghantar artikel-artikel tersebut kepada media massa dan pertubuhan dan parti politik dalam negara. Kami juga akan memaparkan artikel-artikel ini di laman web pihak penganjur untuk dilayari.

Kami dengan ikhlas menjemput rakyat semua lapisan, semua kaum dan semua agama yang prihatin terhadap keadaan hak asasi dan demokrasi negara kita untuk hadir bersama dalam forum ini. Masuk adalah percuma. Sila hubungi nombor di bawah untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog