Top posts

Featured Posts

Forum "Pertubuhan masyarakat•Perjuangan berparlimen•Demokrasi dan hak asasi manusia"

Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat semua kaum semua lapisan hidup dibawah pemerintahan hegemoni bersifat perkauman Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh UMNO. Hak asasi dan demokrasi yang sepatutnya dinikmati rakyat kian hari kian pupus akibat pencabulan tiada batasan oleh klik pemerintah. Selepas setengah abad menderita, ribut perubahan kali pertama yang dibawa oleh rakyat pelbagai bangsa seluruh negara akhirnya melanda pada 8hb Mac 2008.



Keputusan 308 (Pilihanraya Umum Ke-12) menyaksikan separuh daripada jumlah pengundi telah menolak pemerintahan klik pemerintah UMNO-BN. Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada 3 parti pembangkang utama iaitu DAP, PKR, dan PAS telah memenangi kuasa pemerintahan di lima negeri (Walau bagaimanapun Perak dirampas balik oleh BN selepas 3 orang  ADUN PR membelot) manakala UMNO-BN terus menguasai kerajaan pusat. Klik pemerintah BN (pusat) yang diketuai oleh Najib menopengkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, terus melaksanakan pemerintahan institusionalisasi fahaman perkauman, yang menindas dan mengeksploitasi pekerja negara kita dengan kejam. Dalam lima tahun yang lepas, majoriti rakyat masih menghadapi pelbagai keadaan kritikal, seperti pemerintahan kuku besi bersifat perkauman, penyalahgunaan kuasa dan korupsi, harga barangan semakin meningkat, kehidupan semakin susah dan keterpinggiran budaya, pendidikan dan agama kaum minoriti. Rakyat jelata telah sedar bahawa klik pemerintah melaksanakan penindasan dan pengeksploitasian terhadap rakyat menerusi jentera kerajaan, dan terus-menerus mengawal dan menguasai jentera kerajaan melalui pilihanraya yang kotor.

Atas desakan dan gesaan rakyat jelata yang membara, Bersih 2.0, satu gabungan yang  terdiri daripada lebih 60 pertubuhan masyarakat (NGO) untuk menuntut reformasi sistem pilihanraya kepada pilihanraya yang bersih dan adil, telah menganjurkan dan memimpin satu lagi perhimpunan besar “Duduk Bantah 428”, susulan daripada “Perarakan tunjuk perasaan 709” yang amat menyemarakkan semangat dan memberangsangkan. Lebih-lebih lagi, himpunan “duduk bantah 428” merupakan hasil kerjasama dan aksi bersama Bersih 2.0 dan Himpunan Hijau. Aksi ini telah menjadi satu babak penting dan model dalam sejarah perjuangan rakyat negara kita.  Kedua-dua perjuangan massa yang bermakna dan berpengaruh ini telah memberi kesedaran kepada rakyat semua bangsa semua lapisan tentang peranan penting kekuatan massa dalam perjuangan hak asasi dan demokrasi rakyat, dan juga posisi penting pertubuhan masyarakat (NGO) dalam pergerakan reformasi sosial.

Barang kali diberangsang oleh kejayaan dua perhimpunan tersebut diatas, sebelum PRU 13, banyak pertubuhan masyarakat (NGO) pelbagai bidang seperti pertubuhan perlindungan alam sekitar, pertubuhan hak asasi manusia, pertubuhan hak wanita, pertubuhan budaya dan pendidikan, pertubuhan orang asli, pertubuhan agama dan kepercayaan, pertubuhan orang kurang upaya, dan pertubuhan rakyat tertindas sudah pun mula bergiat aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dan kempen pilihanraya seperti: mengemukakan tuntutan pilihanraya, menganjurkan program latihan PACA, mengadakan program kesedaran pengundi, menyerukan pengundi keluar untuk mengundi, dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen yang diadakan telah mendapat sambutan yang baik dari rakyat pelbagai bangsa, lapisan dan parti politik. Ramai pemimpin-peminpin pertubuhan masyarakat (NGO) juga melibatkan diri secara aktif dalam tempoh berkempen PRU-13, dengan menjadi sukarelawan ataupun berkempen untuk calon.

Antara pemimpin-pemimpin pertubuhan masyarakat (NGO) yang bergiat aktif dalam pilihanraya, pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack merupakan pemimpin yang tertonjol. Sebagai wakil daripada pertubuhan masyarakat (NGO), Wong Tack yang bertanding di kawasan parlimen Bentong atas tiket DAP bertekad untuk membawa isu anti-Lynas dan suara rakyat  membantah ancaman alam sekitar ke dalam parlimen. Tindakannya pada mulanya memang dikritik dan niatnya dicurigai oleh sesetengah pimimpin pertubuhan masyarakat (NGO) dan individu-individu demokratik. Malah ada yang mendesak beliau untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi Himpunan Hijau. Walau bagaimanapun, dengan sokongan parti dan individu demokratik, beliau tetap meneruskan perjuangan dengan sebab dan pendirian tersendiri, akhirnya beliau berjaya memenangi kefahaman dan mendapat sokongan daripada rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin pertubuhan masyarakat (NGO).

Sebaliknya, rakyat paling meluat dengan Waythamoorty, Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf Makkal Sakthi). Demi jawatan dalam kabinet dan kepentingan peribadi, Waythamoorty sanggup mengemis kepada Najib dan orang besar UMNO dengan mengkhianati pendirian HINDRAF yang mewakili kepentingan masyarakat India miskin yang terpinggir, menggadaikan maruah diri dan bermusuhan dengan rakyat semua bangsa seluruh negara pada saat-saat akhir sebelum PRU 13. Kesudahan yang menanti Waythamoorty sudah pasti adalah kritikan tidak kenal ampun daripada rakyat semua bangsa dan semua pertubuhan-pertubuhan masyarakat disamping meninggalkan catatan memalukan dalam sejarah gerakan demokratik dan hak asasi manusia.

Para pengundi Malaysia telah mencipta rekod peratusan mengundi yang tertinggi dalam PRU 13 pada 5 Mei 2013. Malangnya keputusan PRU kali ini tetap menyaksikan walaupun lebih dari separuh pengundi telah menolak kem Barisan Nasional, tetapi hasrat rakyat untuk “Buangkan BN ke dalam tong sampah sejarah” masih tidak dapat direalisasikan. Oleh sebab itu, perasaan rakyat jelata yang tidak puas hati dan tidak dapat menerima keputusan PRU 13 yang disifatkan sebagai PRU ‘paling kotor’ adalah boleh difahami.

Selepas pilihan raya, sesetengah pihak daripada parti politik, kumpulan-kumpulan dan individu-individu yang tidak sabar hendak menukar kerajaan pada 505 berpendapat bahawa kesedaran politik orang ramai di negara kita telah mencapai tahap di mana mereka telah bersedia memaksa klik pemerintah untuk mengadakan pemilihan semula melalui aksi demonstrasi jalanan. Namun begitu, fenomena penurunan ketara bilangan peserta "himpunan hitam 505" dan kawalan klik pemerintah yang semakin ketat ke atas jentera kerajaan telah menunjukkan aspirasi dan harapan terdesak untuk menafikan keputusan pilihan raya dan menuntut pilihan raya semula melalui demonstrasi jalanan nampaknya akan menemui jalan buntu.

Kami pernah mengadakan forum "NGO Sentiasa Berdampingan Dengan Rakyat Jelata" sempena ulang tahun ke-10 Jawatankuasa Sahabat SUARAM Johor (sekarang dikenali sebagai Sahabat Rakyat Working Committee) pada tahun 2011 untuk membincangkan peranan dan kedudukan pertubuhan masyarakat (NGO) di Malaysia dalam keadaan semasa dan pada masa depan. Pada tahun 2013, kami mengemukakan strategi dan taktik "memecahkan hegemoni UMNO, membentuk satu barisan persatuan demokratik" menjelang PRU 13.

Kami berpendapat bahawa,  barisan persatuan demokratik bukan sahaja terdiri daripada tiga parti politik dalam Pakatan Rakyat yang sedang menentang BN [iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP)], tetapi juga mesti menyatukan semua parti-parti politik lain yang menentang UMNO-BN, termasuk Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Hak Asasi Manusia (HRP), dan juga pertubuhan-pertubuhan masyarakat (NGO) dan individu pelbagai bangsa, lapisan masyarakat dan bidang.

Kami juga menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan bersama-sama menamatkan pemerintahan hegemoni UMNO! Kita mengalu-alukan orang ramai dari semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa, kelas, parti dan agama, yang menentang amalan korupsi dan hegemoni perkauman UMNO-BN untuk menyertai barisan persatuan demokratik ini, supaya perjuangan untuk hak demokratik dan hak asasi manusia akan maju ke hadapan.

Sempena ulang tahun ke-12 Sahabat Rakyat Working Committee, kita memutuskan untuk menganjurkan satu lagi forum yang bertema "Pertubuhan masyarakat • Perjuangan berparlimen • Demokrasi dan hak asasi manusia" untuk meneroka peranan pertubuhan masyarakat (NGO) dalam mendampingi aspirasi rakyat, dan untuk memahami perjuangan di dalam mahu pun di luar parlimen, dalam usaha memajukan gerakan demokratik dan hak asasi manusia di negara kita. Satu jamuan makan akan diadakan sebaik selepas forum.

Kami akan menjemput beberapa pemimpin pertubuhan masyarakat (NGO) yang terkemuka dan intelektual politik, untuk menyampaikan ucapan, menyediakan kertas pembentangan dan menjawab soalan para hadirin dalam forum ini.

Kami berharap forum ini akan merangsangkan lebih ramai pemimpin parti-parti demokratik, kumpulan intelektual dan orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk bergabung tenaga dalam usaha untuk memajukan gerakan demokratik dan hak asasi manusia di negara kita.

Forum dan jamuan makan ini akan diadakan di Johor Bahru pada 20 Oktober 2013 2pm, sebagai program utama majlis ulang tahun ke-12 Sahabat Rakyat Working Committee. Kami mengalu-alukan semua pihak dari parti-parti, kumpulan-kumpulan dan individu-individu demokratik untuk bersama kami dalam majlis yang bermakna ini. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Cheng di 016-7782707.


Sahabat Rakyat Working Committee
9 September 2013

No comments:

Post a Comment

Search This Blog