Top posts

Featured Posts

Pemilik halaman FB akan didakwa jika didapati bersalah

KUCHING: Timbalan Menteri dalam Negeri Datuk Dr. Wan Haji Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kementerian dalam negeri (KDN) bertindak seperti satu badan payung yang akan memantau pihak polis kalau mereka sudah mengambil tindakan.

Beliau berkata di dalam perlembagaan negara sangat jelas menggariskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, mengkritik sesiapapun jika bercanggah dengan perlembagaan, itu adalah satu kesalahan.
“Tetapi apa yang tidak dibolehkan jika melibatkan perpecahan Persekutuan Malaysia ini, kalau dibuat dengan jelas dan terang dan menjadi suatu bentuk hasutan maka itu akan jatuh di bawah akta hasutan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kecemasan Parlimen Santubong di Kuching.

Beliau berkata tindakan diambil berlandaskan laporan, dan kalau laporan sudah dibuat maka pihak polis akan mengambil tindakan.

Setakat ini, beliau belum menerima apa-apa laporan mengenai kes fan page FB anti Sabah dan Sarawak kerana masih bercuti.

“Jadi dalam hal ini, saya belum menerima sebarang laporan tetapi jika laporan sudah dibuat dalam hal yang serius ini, saya cukup yakin pihak polis sedang dan telah membuat penyiasatan, tetapi ia akan memakan masa sedikit,” katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Ketua UPKO Ranau, Siringan Gubat menggesa tindakan diambil ke atas pentadbir halaman FB, Semenanjung Malaysia Anti Sabah Sarawak bagi mengelakkan hal yang tidak ingini berlaku.

Halaman FB yang membangkitakan isu perkauman dan agama ini kembali muncul setelah ditutup beberapa waktu yang lalu.

Wan Junaidi juga berkata ada benda yang kita anggap sebagai tidak dibolehkan dalam sudut politiknya, pandangan politiknya tetapi jika diselidik daripada undang-undang ianya perlu lebih ketat lagi.

“Tak semua yang kita dengar sudut politiknya salah tetapi belum ada bahan yang cukup dalam undang-undang. Tetapi itu berlandaskan penyiasatan pihak polis, penyiasatan dibuat dan fail siasatan akan dihantar kepada Peguam Negara dan pihak peguam akan menyelidik sama ada perlukah ada keperluan untuk membawa kes ini kepada mahkamah,” tegas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa kalau perkara sedemikian dibuat oleh sama ada orang Sarawak ataupun Sabah ataupun orang Semenanjung yang cuba memecah belahkan antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ia akan menjadi suatu kesalahan.

“Tetapi soalannya, adakah laporan, penyiasatan dan prima facie kes ada tidak?,” tanya beliau.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog