Top posts

Featured Posts

SBPA: PKR gesa kerajaan terima syor Cuepacs

PETALING JAYA, 23 Feb – Lanjutan daripada syor yang dikemukakan Cuepacs supaya kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54, PKR hari ini menggesa kerajaan menerima syor berkenaan yang turut dilihat selari dengan matlamat Pakatan Rakyat (PR) sebagaimana yang terkandung di dalam Buku Jingga.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan Ceupacs itu yang dilihat mampu membela nasib penjawat awam.

“PKR mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji syor yang dikemukakan Ceupacs itu kerana ianya selari dengan saranan PR melalui Bajet Alternatif yang menyatakan gaji minimum kakitangan awam akan ditetapkan pada kadar RM1,100 untuk 300,000 penjawat awam di negara ini.

“PKR turut menyarankan semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap lima tahun sekali supaya selaras dengan kadar inflasi,” katanya.

Presiden Ceupacs, Datuk Omar Osman mengemukakan syor tersebut dan menuntut kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

Selain itu, Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

Cuepacs juga menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

Tambah Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, PR juga komited menyelaraskan gaji kakitangan awam dengan lebih saksama selain insentif khas RM500 sebulan untuk guru turut terkandung dalam Buku Jingga.

“Ini berbeza dengan syor awal SBPA di mana penjawat tertinggi kerajaan dalam kategori Premier akan menerima kadar kenaikan sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kakitangan bertaraf pemandu hanya serendah RM1.70 sebulan,” tegasnya.

Berdasarkan laporan 2006 United Nation (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji yang paling tinggi berbanding jiran-jiran serantau dengan perbezaan bagi penerima gaji tertinggi dan terendah adalah 19.5 nisbah 1.

“Ini bermakna, gaji penjawat awam tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi daripada kakitangan bawahan,” tambahnya lagi.

Pelaksanaan SBPA ditangguhkan sementara pasukan petugas khas selesai menjalankan semakan.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog