Top posts

Featured Posts

Air Asia terus jadi rebutan

Luke Rintod of FMT

Syarikat penerbangan tambang murah itu diarah memindahkan operasinya di Sabah.
KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia, nampaknya selalu saja menerima tekanan dari pihak kerajaan
Malaysia, tetapi itu tidak menghalang Air Asia daripada terus menjadi rebutan di kalangan rakyat.

Terbaru di Sabah, Air Asia diarah memindahkan operasinya dari Terminal 2 sekarang ke Terminal 1 bulan Jun ini, berkongsi terminal dengan syarikat penerbangan milik kerajaan, MAS.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asia, Tony Fernandez pula enggan akur, menyebut kos khidmat penumpang yang akan meningkat 100%, dari hanya RM25 sekarang kepada RM51 nanti.
Tony juga menyebut kekurangan kemudahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai satu lagi sebab utama yang lain. Bagaimanapun, kerajaan menafikan ada kekurangan di terminal berkenaan.
Para pemerhati industri penerbangan berpendapat keadaan ini mungkin akan memaksa kerajaan mengenakan “tekanan” kepada syarikat milik Tony itu.
Bagaimanapun, Labuan dan Sandakan dengan cepat menawarkan lapangan terbang mereka sebagai alternatif kepada Tony sekiranya beliau memutuskan untuk memindahkan terus pusat operasi Air Asia dari ibu negeri.
Dewan Perniagaan Cina Labuan berkata lapangan terbang Labuan yang baru saja dinaiktaraf menelan belanja RM500 juta tetapi masih belum digunakan sepenuhnya, sangat sesuai dijadikan pusat operasi Air Asia di Sabah.
Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah pula, John Lim Shau Ket, berpendapat dan mengalu-alukan Air Asia memindahkan operasinya ke Sandakan, pintu masuk pelancongan alam semulajadi Sabah.
Gesaan ini mendapat sokongan Dewan Perniagaan Cina Sandakan. Setiausahanya, Stephen Wong berkata Sandakan berada di tengah- tengah Asia Tenggara dan amat sesuai menjadi pintu masuk pelancong dari Hong Kong, Taiwan, China, Korea, Filipina, Indonesia malahan Australia dan New Zealand.
Bagaimanapun, ramai berpendapat Sandakan mungkin tidak semenarik Labuan kepada penumpang tempatan kerana jarak yang terlalu jauh dari Kota Kinabalu berbanding Labuan yang agak dekat dan boleh dihubungi menggunakan feri dan jalanraya.
Jumaat lepas, Tony berkata di Kota Kinabalu, Air Asia telah membawa lebih 32 juta penumpang ke Malaysia Timur setakat ini. Selain rakyat tempatan, golongan pelancong terutama dari Timur Jauh merupakan penumpang terbanyak penerbangan berkenaan.
Sebelum ini, Air Asia juga terlibat dalam krisis penggunaan nama Team Lotus di Sirkit Perlumbaan Formula 1 dengan syarikat milik kerajaaan Malaysia, Proton, yang mempunyai kepentingan dalam syarikat Lotus.
Kes ini dikatakan telah mengakibatkan hubungan dingin Tony dengan pihak kerajaan yang seolah-olah menggalakkan pelbagai cabaran dan halangan kepada Air Asia, sebuah syarikat yang bermula dari kecil tetapi kini menerajui carta antara penerbangan paling berjaya di dunia.

1 comment:

  1. dah x bayar airport tax, bukan sahaja patut pindah, malah NYAH jer dari MAHB...

    ReplyDelete

Search This Blog